Thursday, August 14, 2008

Apa dosa kami.... anak yatim aids

MELIHAT anak kecil ini buat kali pertama dan secara imbasan bersahaja, pasti ramai yang tidak menyangka bahawa dia yang berusia lapan tahun sedang menderita penyakit yang sangat digeruni penduduk dunia, AIDS.

Di sebalik senyuman, telatah comel dan kerenah manja Nur Murni Mohd. Saidi atau lebih manja sebagai Murni, terpampang kisah silam penuh derita dan masa hadapannya yang menghitung hari, memang menyedihkan hingga mampu menitiskan air mata sesiapa jua yang tahu keadaan sebenar.


Tidak keterlaluan jika dikatakan Murni sedang berjuang di ambang maut sejak beliau dilahirkan lapan tahun yang lalu setelah doktor menjangka hayat kanak-kanak ini tidak lama.

Ketika Mingguan Malaysia menemuinya di Pusat Perlindungan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pesakit HIV dan Aids Nurul Iman (Pernim) di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini, Murni yang bersaiz kecil dengan berat 12 kilogram baru sahaja keluar hospital.


“Sejak kecil lagi, Murni yang fizikalnya hanya sama besar dengan budak umur empat tahun kerap keluar masuk hospital dan terpaksa menelan pelbagai jenis ubat dan dadah bagi melawan pelbagai serangan penyakit ekoran daya tahan badan dan antibodi yang lemah.

“Terbaru sekali, ketika melakukan pemeriksaan doktor baru-baru ini, doktor telah mengesahkan sebelah paru-paru anak malang ini tidak boleh berfungsi secara normal,” kata Ketua yang juga Pengasas Pernim, Norlina Alawi.


Pusat Perlindungan Pernim yang ditubuhkan sejak empat tahun yang lalu telah memberi harapan dan kehidupan baru kepada lebih 30 anak-anak yatim termasuk tiga anak kecil yang menghidapi penyakit AIDS atau HIV.

Menceritakan mengenai latar belakang Murni secara ringkas, Norlina berkata, anak malang itu lahir hasil perkongsian hidup pasangan suami isteri yang sah. Namun bapanya, penagih dadah tegar manakala ibunya seorang suri rumah di Kelantan.


Akibat suntikan dadah dari tabiat berkongsi jarum antara penagih- penagih, bapanya dijangkiti virus HIV tanpa disedari dan kemudiannya, ‘berkongsi’ kuman berkenaan dengan ibu Murni semasa menjalin hubungan kelamin.

Diwariskan

Kuman tersebut seterusnya ‘diwariskan’ pula kepada anak dalam kandungan iaitu Murni yang kini kehilangan ibu dan bapanya akibat AIDS yang telah bersarang sejak sekian lama.


“Kemudian ada sahabat yang prihatin menelefon Pernim dan menceritakan perihal Murni yang ditinggalkan bersendirian di hospital setelah ibu bapanya meninggal, walaupun mempunyai ibu dan bapa saudara yang ramai tetapi mereka tidak mampu untuk menjaganya.

“Ketika itu, dia masih kecil dan tidak tahu apa-apa mengenai kehidupan di dunia ini. Doktor beritahu adik- beradik bapa Murni yang ramai itu tetapi mereka tidak berani mengambilnya kerana tidak mampu menjaganya,” katanya sayu, mata yang berkaca.


Walaupun membesar dengan virus HIV dan hanya boleh menikmati kehidupan ini buat seketika, masyarakat sekeliling tidak berhak untuk menafikan segala peluang dan masa yang ada untuk membolehkan Murni hidup bahagia seperti kanak-kanak lain.

“Atas kesedaran itu, Pernim menghantar Murni ke sekolah seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya walaupun dia hanya sekadar duduk berdiam diri di dalam kelas dan hanya memerhati gelagat rakan-rakannya.

“Guru-guru di sekolahnya tahu mengenai keadaan Murni dan mereka mengambil sikap positif dengan tidak sesekali meminggirkannya dalam segala aktiviti pembelajaran bagi menjaga hati dan perasaannya.


“Syukur kepada Allah Taala, saya mendapat maklum balas daripada guru-guru bahawa ibu-bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu tidak menyisihkan anak-anak mereka daripada Murni kerana faham mengenai AIDS.

“Saya harap lebih ramai masyarakat sekeliling faham dan tidak lagi memandang serong terhadap pesakit AIDS terutama kanak-kanak yang tidak berdosa seperti Murni kerana walaupun sebahagian organ termasuk otaknya terganggu akibat serangan AIDS, namun mereka mempunyai hati dan perasaan seperti insan lain,” katanya dengan air mata yang mula berlinangan.


Selain ke sekolah, Murni turut mengikuti kelas tae kwan do bersama-sama anak-anak yatim lain di pusat berkenaan agar anak malang itu turut menikmati riadah dan tidak hanya menjadi pemerhati keriangan anak- anak lain, jelasnya.

“Murni pernah koma, gugur rambut dan ketika itu, doktor menasihatkan agar membuat persediaan pengebumian tetapi kuasa Allah Taala mengatasi segalanya, Murni terus hidup sampai sekarang dan hanya Dia yang menentukan selama mana Murni akan bertahan,” kata Norlina.


ARTICLES SOURCE: http://www.utusan.com.my